Bisnes digital mesra OKU
HASHNAN ABDULLAH
ISU komunikasi dengan orang normal, antara halangan utama golongan orang kurang upaya (OKU) menjalankan bisnes mereka secara lebih berkesan.
Halangan itu menyebabkan wujudnya salah faham maklumat sehingga ia menjejaskan peluang golongan OKU untuk memperluaskan lagi pasaran perniagaan mereka.
Ini turut isu yang dinyatakan di segmen perbincangan secara dalam talian (zoom) antara Coach Zul bersama Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), baru-baru ini.

ANTARA OKU YOKUK yang hadir dalam segmen bersama Coach Zul (barisan bawah, kanan sekali) secara Zoom, baru-baru ini.
Kesukaran berkomunikasi telah menimbulkan rasa kurang percaya sama ada pada pekedai mahupun OKU itu sendiri, dan ada juga yang tidak menguntungkan.
Keadaan itu menyebabkan pasaran produk golongan OKU itu sekadar di gerai-gerai tepi jalan atau kedai runcit biasa, walaupun kualiti produk mereka itu boleh diyakini.
Dalam menangani isu itu, Coach Zul menasihatkan golongan OKU, terutamanya yang bernaung bawah YOKUK agar tidak hanya bergantung kepada cara perniagaan konvensional.
“Kita boleh guna platform pemasaran digital seperti Shopee, Lazada, Facebook (FB), Instagram (Ig), Google atau Whatapps kerana ia lebih mudah berkomunikasi.
“Kaedah komunikasi platform itu adalah melalui tulisan atau rakaman suara,” katanya dalam segmen perbincangan selama lebih sejam tersebut.
Dalam segmen itu, Coach Zul turut mengajar secara ringkas penggunaan platform pemasaran digital tersebut kepada golongan OKU yang hadir.